14 NOV : Malaysia mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran perjanjian damai untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan dengan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menghargai pendekatan matang yang diambil Kemboja.
“Saya sudah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi menilai perkembangan terkini terkait isu sempadan antara Kemboja dan Thailand.
“Dalam perbincangan tersebut, saya menghargai setulusnya pendekatan yang matang yang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan pada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan dengan Hun Manet, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata pendirian Kemboja itu penting dalam memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang.
“Malaysia tentunya mendukung sepenuhnya pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran yang telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan untuk menamatkan pertikaian yang berlarutan.
“Prinsip ini penting bagi memastikan sebarang perbedaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau.
Selain itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab.
“Sebagai sebuah negara yang berkomited tegas terhadap keamanan serantau, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil dan bertanggungjawab terutamanya dalam membantu kedua-dua negara sahabat mencapai penyelesaian yang berkekalan serta menyumbang pada pengukuhan kestabilan di rantau ini,” katanya.