15 NOV : Kesilapan pihak kontraktor ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan di Terminal 1, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dikenal pasti menjadi punca kebocoran bumbung yang berlaku, malam tadi.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu susulan melaksanakan siasatan segera berhubung insiden berkenaan.
Menurut MAHB, kejadian tersebut berlaku ketika kerja pemulihan bumbung dan kalis air sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada penyelenggaraan berterusan bagi menangani infrastruktur yang semakin uzur.
“Insiden berlaku semasa kontraktor sedang menjalankan kerja penutupan pada bahagian saliran sebelum aktiviti kilat memaksa kerja dihentikan mengikut prosedur keselamatan,” kata MAHB.
MAHB menjelaskan pekerja kontraktor terpaksa meninggalkan kawasan bumbung dengan tergesa-gesa akibat cuaca buruk, namun gagal mengalihkan kepingan papan lapis yang digunakan untuk menutup saliran.
“Kegagalan mengalihkan papan lapis itu menyebabkan saliran bumbung tersumbat. Apabila hujan lebat melanda, air terkumpul dan akhirnya menembusi siling terminal,” kata MAHB lagi.
MAHB memaklumkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor terlibat, selain memastikan penambahbaikan kerja pembaikan dilakukan segera.
Kerjasama dengan kontraktor akan dijalankan bagi memperkukuh prosedur kerja termasuk menjadikan semakan ramalan cuaca sebagai syarat mandatori sebelum kerja di atas bumbung dimulakan serta menambah baik protokol kecemasan ketika cuaca buruk.
Untuk rekod, kerja-kerja pembaikan bumbung berkenaan merupakan sebahagian daripada projek penyelenggaraan setahun yang bermula pada April 2025 di bawah program pembaharuan infrastruktur KLIA.