Rundingan 40% hasil Sabah bermula Isnin ini
15 NOV : Rundingan teknikal rasmi berkait Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah akan bermula Isnin ini di Kota Kinabalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan itu bagi menyelesaikan perkara tertunggak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Jemaah menteri bincang beberapa kali (dan) kita putuskan hari Isnin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan(Datuk Johan Mahmood Merican) akan turun ke Kota Kinabalu.
“Kita akan bincang isu-isu teknikal 40 peratus dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Bila? Hari Isnin, dua hari lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Temu Anwar Harapan Urang Muda Sabah di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), hari ini.
Mengulas soal desakan pihak yang membangkitkan soal rayuan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tidak akan merayu kes tersebut.
“We are serious. Ada pula peguam-peguam bising soal appeal sedangkan kita tak pernah rayu sebab 40 peratus. Saya nak tegaskan, selaku Perdana Menteri mewakili jemaah menteri dan kerajaan, kita tidak rayu kerana 40 peratus, itu hak Sabah.
“Apa lagi yang mahu dipolitikkan? Nak pilihan raya, silakan. Nak kempen, kempenlah. Tapi jangan pusing fakta macam dulu waktu kamu berkuasa, kamu pun tak selesai isu ini,” katanya.
Beliau sekali lagi menjelaskan rayuan yang akan dibuat kerajaan hanya melibatkan alasan penghakiman yang boleh dianggap mengecilkan jasa pentadbiran terdahulu sejak 1974.
“Yang kita rayu bukan hak 40 peratus itu. Yang kita rayu hanyalah bahagian penghakiman yang menyatakan kerajaan-kerajaan sejak 1974 melanggar prinsip perlembagaan unconstitutional.
“Saya tak mahu jadi Perdana Menteri yang menghina Perdana Menteri dahulu, sebab itu saya minta Peguam Negara rayu untuk betulkan bahagian itu sahaja.
“Tak perlulah kita hina pemimpin lama yang juga punya jasa besar. Fokus kita ialah selesaikan hak Sabah secara tertib dan adil,” katanya.
Anwar tiba di Kota Kinabalu tengah hari tadi bagi memulakan lawatan dua hari ke Sabah.
Beliau dijadual menghadiri ceramah perdana selain melawat mangsa kebakaran Kampung Petagas.
Esok, Anwar dijadual mengadakan ramah mesra di beberapa kawasan.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA