Kartel seludup dadah guna kontena sejak 20 tahun lalu
16 NOV : Kerajaan mendedahkan wujudnya kartel gergasi yang menyeludup dadah menggunakan kontena dari Pelabuhan Klang sejak dua dekad lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pendedahan itu sambil menekankan tiada tindakan diambil terhadap kegiatan berkenaan selama ini.
Justeru beliau, mempertikaikan sikap pihak berkuasa yang tidak menangani isu sebesar itu.
“Sekarang saya jadi Perdana Menteri, saya tunggu setahun tiada laporan (sedangkan) orang bercakap tentang perkara ini.
“Kemudian kontena itu masuk. Kontena dadah keluar daripada Pelabuhan Klang, ditangkap di Australia.
“Itu saya mengamuk. Saya kata jangan cakap kepada saya…anda tak ada apa-apa tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembang santai bersama media Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam isu tersebut.
Dalam usaha menyelesaikan isu itu, Anwar bertemu ketua-ketua agensi setiap minggu selama sejam untuk mendapatkan perkembangan terkini.
“Satu contoh ialah Pelabuhan Klang. Rupanya ratusan kontena yang masuk seperti sisa e-waste. Jadi kita kata, serbu. Bagaimana, bila dan siapa? Itu kerja dia. Saya tak tahu.
“Ada juga kelakuan dan tindakan jenayah. Ada orang mati dibunuh oleh mereka,” katanya.
