17 NOV : MIC menegaskan komitmennya untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal kerajaan meskipun parti itu berkemungkinan meninggalkan Barisan Nasional (BN).
Presidennya, SA Vigneswaran berkata MIC tidak bercadang bergerak secara bersendirian dan akan memilih untuk menyertai gabungan lain sekiranya ia mengambil keputusan keluar daripada BN.
Beliau berkata keputusan berhubung penyertaan dalam gabungan baharu hanya akan dibuat selepas MIC memuktamadkan langkah meninggalkan gabungan yang diasaskannya bersama UMNO dan MCA lebih lima dekad lalu.
Menurutnya, Jawatankuasa Kerja Pusat parti akan membuat keputusan rasmi dalam masa terdekat mengenai kedudukan MIC dalam BN.
“Perkara paling penting, kami berada dalam dilema kerana Perdana Menteri sendiri tidak melakukan sebarang kesalahan (dalam perkembangan isu ini). Jadi kami tetap teguh menyokong beliau untuk dua tahun lagi.
“Kami memberi jaminan akan menyokong Anwar sepanjang penggal ini. Keputusan itu masih berkuat kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan konvensyen tahunan MIC di IDCC Shah Alam, lapor FMT.
Vigneswaran turut memaklumkan perwakilan parti sebulat suara meluluskan dua usul untuk keluar BN, namun keputusan muktamad diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat dan Presiden.
“Kami bukan bermain politik. Kami cuma sudah letih. Kami membuat keputusan ini bagi memastikan apa-apa formula perkongsian kuasa mestilah berasaskan prinsip maruah,” katanya.
Selain itu katanya, Anwar juga sudah dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut setelah beliau mengadakan perbincangan dengan pengerusi Pakatan Harapan itu pada Jumaat lalu.
“Saya bercakap dengannya, bukan untuk berunding mengenai kerusi tetapi untuk memberitahunya yang kami mahu keluar BN.
“PM menasihatkan saya untuk menilai semula kerana kami sudah lama bersama BN,” katanya.
Vigneswaran turut menjelaskan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum dimaklumkan mengenai perkara itu kerana MIC menganggapnya sebagai urusan dalaman parti.
Beliau menegaskan bahawa kerusi wakil rakyat MIC tidak terkesan jika parti itu keluar BN, memandangkan undang-undang antilompat parti hanya terpakai kepada individu yang menukar parti, dan bukannya parti politik yang mengubah sokongan.