Percepat proses lulus urusan tanah bagi pembangunan
17 NOV : Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diseru untuk memperkukuh kerjasama dalam mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-82, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, mesyuarat yang menghimpunkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri itu diadakan bagi membincangkan perancangan serta pengurusan tanah negara secara lebih strategik serta seimbang.
“Bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksana dengan segera demi kebajikan rakyat, saya turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan dan negeri terus memperkukuh kerjasama, khususnya dalam mempercepat proses kelulusan urusan tanah bagi tujuan pembangunan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.
Mesyuarat itu katanya satu platform penting yang menyatukan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perancangan serta pengurusan tanah negara agar dimanfaatkan secara optimum dan seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial serta kelestarian alam sekitar.
Katanya, mesyuarat bersetuju dan berpegang teguh kepada komitmen mengekalkan 50 peratus keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan, selaras dengan aspirasi antarabangsa dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.
“Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar mengangkat agenda pembangunan yang berimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam, selari dengan prinsip kemampanan sebagai teras utama konsep MADANI,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA