18 NOV : Perbincangan Barisan Nasional (BN) dengan kepimpinan tertinggi MIC akan dilakukan selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beliau berharap perbincangan itu dapat menyelesaikan kekusutan yang membelenggu rakan gabungannya itu.
“Kita akan jumpa… saya sendiri akan berusaha untuk berjumpa dengan kepimpinan tertinggi MIC agar kita dapat menyelesaikan segala kekusutan.
“Jadi, jika ada apa-apa salah faham atau perkara yang perlu dijelaskan… elok kita bawa berunding supaya persahabatan yang telah lama terbina ini tidak terputus begitu saja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bertemu jentera BN di Pusat Daerah Mengundi Binsulok bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri melahirkan keyakinan parti rakannya itu akan menilai dan menimbang sebaiknya sebelum memutuskan sebarang keputusan.
“Saya yakin kepimpinan tertinggi MIC akan memikirkan sebaik mungkin dan sedalam-dalamnya kerana MIC merupakan parti yang bersama-sama dengan UMNO dan juga MCA semasa kita memerdekakan tanah air,” katanya.
Terdahulu, perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 di Shah Alam sebulat suara menyokong resolusi untuk meninggalkan BN namun keputusan muktamad hanya akan dibuat Presiden dan Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.