Malaysia-Ethiopia perluas hubungan strategik
20 NOV : Malaysia dan Ethiopia bertekad untuk membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa yang lebih strategik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan, pembangunan modal insan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, Malaysia menyambut baik kemajuan nyata termasuk persetujuan memulakan mekanisme rundingan berkala dan pelbagai inisiatif yang memperluas ruang kerjasama antara rakyat pembangunan bersama serta keterhubungan antara kedua-dua negara.
“Saya turut menekankan potensi besar dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, industri halal, keselamatan siber, serta peluang baharu melalui rangka MoU antara dewan perniagaan kedua-dua negara.
“Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan lebih aktif syarikat Ethiopia dalam misi dagangan dan padanan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala di Addis Ababa, Ethiopia.
Anwar ketika ini dalam rangka lawatan ke beberapa negara di benua Afrika.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia bersedia membuka akses produk seperti ayam, sarang burung dan makanan ternakan di samping menawarkan kepakaran penanaman sawit dan benih berkualiti.
“Saya turut menyarankan semakan kadar tarif import ke atas produk sawit Malaysia yang semakin mendapat tempat di pasaran Ethiopia,” katanya.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut sepakat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, TVET dan penyelidikan.
Katanya, Malaysia turut meneruskan sokongan terhadap agenda reformasi ekonomi Ethiopia melalui MTCP.
“Saya menghargai sokongan Ethiopia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS dan mengucapkan tahniah atas pemilihan sebagai tuan rumah COP32 pada 2027, satu pengiktirafan besar terhadap kepimpinan mereka dalam agenda hijau global.
“Saya yakin kerjasama Malaysia dan Ethiopia akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat serta masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Terdahulu, Anwar menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Negara Ethiopia sebelum melakukan pemeriksaan barisan kawalan kehormatan.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya menanam pokok kelapa sawit di taman Istana Negara sebagai simbolik persahabatan tulen selain menzahirkan komitmen Ethiopia untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia.
