21 NOV : Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan pelantikan Abdul Halim dilantik itu akan berkuat kuasa pada 24 November ini.
“Saya dengan penuh sukacita merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Abdul Halim Hamzah atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi.
“Dengan pengalaman kepimpinan yang luas serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, saya yakin beliau akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan terus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Halim merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemegang ljazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.
Beliau telah berkhidmat hampir 30 tahun dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan berasingan, Shamsul Azri memaklumkan Meor Ismail Meor Akim dilantik sebagai Ketua Pengarah Nadma yang baharu berkuat kuasa 24 November ini.
Shamsul Azri melahirkan keyakinan terhadap pengalaman luas Meor Ismail dalam pelbagai bidang merangkumi Persekutuan dan negeri.
“Saya percaya beliau akan memimpin Nadma dengan penuh dedikasi.
“Pelantikan ini menentukan keupayaan negara untuk memperkukuh sistem pengurusan bencana yang lebih efisien, bersepadu dan responsif,” katanya.