21 NOV : Kementerian Kewangan (MoF) membuat laporan polis susulan penyebaran dokumen palsu yang menggunakan nama kementerian itu.
Melalui satu kenyataan ringkas di Facebook rasminya, MoF mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan dokumen yang tular itu.
Dokumen palsu berupa surat itu menawarkan sesi temu duga yang meminta sejumlah wang.
“Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya atau menyebarkan dokumen palsu berupa surat kononnya dikeluarkan oleh MoF yang turut memaparkan Jata Negara dan telah tular melalui aplikasi WhatsApp.
“Dokumen berkenaan menawarkan sesi temu duga palsu serta meminta penerima membawa sejumlah wang,” menurut kementerian itu.
Tegas MoF, kandungan dokumen tersebut jelas bercanggah dengan dasar integriti kementerian dan dibimbangi boleh mengelirukan orang ramai.
“Satu laporan polis telah dibuat dan perkara ini kini dalam siasatan pihak berkuasa,” menurut MoF.