Anwar gesa kuasa dunia henti kezaliman di Gaza, Sudan, Ukraine
22 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pentas Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg, Afrika Selatan untuk menggesa kuasa dunia menghentikan kezaliman global termasuk tragedi kemanusiaan yang berlaku di Gaza.
Menurut Anwar, keberadaan pemimpin dunia di Afrika Selatan membawa simbolik tersendiri kerana benua itu pernah melalui sejarah hitam apartheid yang meninggalkan luka membekas.
“Saya menyatakan kepada semua negara yang hadir bahawa kita sedang berhimpun di sebuah benua yang pernah dirundung dasar apartheid yang bobrok dan luka ditinggalkan sangat membekas.
“Ini menjadi hujah pokok saya dalam menggesa kezaliman dan pembantaian di Gaza dihentikan serta berusaha untuk mengakhiri kemelut di Sudan dan mencari penyelesaian damai di Ukraine,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia dan ASEAN dalam menghadapi tekanan geopolitik, gangguan tarif, kelembapan rantaian bekalan serta perubahan teknologi yang pesat.
Anwar menegaskan bahawa kekuatan ekonomi tidak terbina melalui pengasingan tetapi melalui dasar yang kukuh dan peraturan yang dapat dijangka.
“Pengajaran daripada itu tersedia jelas yakni ketahanan tidak lahir daripada ‘isolation’, tetapi terjelma melalui dasar yang sepadu dan kerangka peraturan boleh dijangka,” katanya.
Perdana Menteri turut memberi peringatan mengenai gelombang teknologi semasa, khususnya kecerdasan buatan (AI) yang bakal mengubah landskap pekerjaan global.
“Saya tegaskan betapa gelombang AI akan mengubah corak pasaran kerja dan ia akan menjadi jauh lebih rumit sekiranya negara tidak bersedia dengan rempuhan gelombang tersebut,” katanya.
Anwar juga menyentuh isu kelesuan fiskal dunia apabila banyak negara terpaksa membelanjakan lebih wang untuk mengurus hutang berbanding pendidikan.
Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara G20 meningkatkan pelaburan sebelum krisis melanda.
“Saya turut sentuh bahawa dunia tidak mampu membina daya tahan global sekiranya kita terus dirundung kelesuan fiskal, tatkala banyak negara sedang berbelanja lebih untuk mendepani permasalahan hutang ketimbang pendidikan.
“Walhasil, kita mesti melabur sebelum kemelut merempuh, bukan selepas. Malaysia tentunya bersedia untuk bekerjasama dengan semua rakan dan sahabat untuk memperkukuh ekonomi global yang terbuka, stabil dan yang menjamin peluang yang adil kepada setiap warga dan insan,” katanya
