22 NOV : Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand berikutan bencana banjir yang melanda wilayah itu sejak sejak beberapa hari lalu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata hujan lebat berterusan menyebabkan kebanyakan kawasan kini dinaiki air.
“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong atau melawat selatan Thailand supaya menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu ekoran cuaca buruk, hujan lebat berterusan serta banjir yang menjejaskan banyak kawasan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia di selatan Thailand agar peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengutamakan keselamatan.
Sebarang bantuan konsular boleh dihubungi melalui talian +66 81 990 1930 atau e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.
Mengikut laporan media, kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel sekitar Songkhla susulan jalan utama dari Hatyai ke Sadao terputus kerana banjir.
Hujan sejak Isnin menyebabkan lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir dan lebih 124,000 keluarga terpaksa berpindah ke lokasi lebih selamat.
*Foto : Facebook ANF Services Global