22 NOV : Barisan Nasional (BN) menjamin pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menjadi agenda utama sekiranya parti itu kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai wakil dalam kerajaan, beliau akan mendesak agar pelaksanaan MA63 dipenuhi.
“Keprihatinan utama penduduk Sabah ialah pelaksanaan MA63 dan saya yakin dengan komitmen Kerajaan MADANI, MA63 pasti dapat dilaksanakan kerana saya sendiri akan mendesak di peringkat Kabinet supaya ia dilaksanakan sepenuhnya.
“Insya-Allah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup…akan turut menyuarakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majis pelancaran manifesto BN, hari ini.
Tegasnya, komitmen terhadap MA63 bukan retorik politik, sebaliknya kesinambungan perjuangan BN sejak dahulu.
Menurutnya, penambahbaikan infrastruktur asas penting bagi menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk belia Sabah.
“Terdapat 169,000 penganggur di Sabah…ekosistem TVET diberikan penekanan supaya peluang pekerjaan bagi anak-anak muda di Sabah dapat diwujudkan,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata projek-projek utama termasuk Lebuhraya Pan Borneo, pembangunan pelabuhan Kudat dan perancangan lapangan terbang baharu juga akan dipercepatkan.