Malaysia-Afrika Selatan perkukuh kerjasama ekonomi, teknologi
21 NOV : Malaysia sedang memperluas kerjasama strategik dengan Afrika Selatan dalam sektor teknologi dan ekonomi selaras dengan agenda pengukuhan hubungan rentas benua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam pertemuan dengan pemimpin industri utama negara itu hala tuju baharu kerjasama ekonomi dibincang melibatkan teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), infrastruktur serta perbankan.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pertemuan itu berlangsung secara konstruktif dengan fokus kepada potensi kerjasama dua hala yang lebih luas.
“Saya bertemu para kapten dan pemain industri di Afrika Selatan untuk berbincang mengenai hala tuju lapangan teknologi dan ekonomi.
“Fokus kami mencakup sektor AI, EV, infrastruktur dan perbankan dengan perbincangan yang strategik dan jelas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, malam tadi.
Anwar berkata Malaysia turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara syarikat kedua-dua negara bagi memastikan hubungan ekonomi tidak hanya bergantung pada kerajaan semata-mata.
“Kerjasama business-to-business turut diberi penekanan agar hubungan ekonomi tidak hanya di tingkat kerajaan-ke-kerajaan tetapi turut merangkum pemain industri yang menjadi penggerak sebenar,” katanya.
Dalam pertemuan itu, sektor pertahanan turut dibincangkan sebagai satu bidang yang berpotensi tinggi untuk diterokai bersama.
“Kami turut menyentuh sektor pertahanan, dan Menteri Pertahanan akan kembali ke sini tahun hadapan bagi meneroka peluang industri pertahanan di sini.
“Malaysia komited memperkukuh hubungan ini secara pragmatik dan berfasa,” katanya.
