Anwar nafi Malaysia campur tangan konflik Thailand-Kemboja
23 NOV : Perdana Menteri menolak dakwaan kononnya Malaysia terbabit dalam ketegangan diplomatik terbaru antara Thailand dan Kemboja.
Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar menegaskan Putrajaya hanya berperanan sebagai pemudah cara bagi membuka ruang dialog antara kedua-dua negara jiran itu.
Katanya, penglibatan Malaysia adalah atas kapasiti sebagai rakan terdekat yang dipercayai kedua-dua negara dan bukan untuk menentukan bagaimana Bangkok atau Phnom Penh menyelesaikan isu mereka.
“Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai jiran, kita sememangnya prihatin tetapi kita tidak terlibat dan juga tidak memberikan sebarang preskripsi tertentu tentang kaedah yang perlu untuk mencapai penyelesaian.
“Saya hanya bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri untuk bertanya sama ada mereka boleh berbincang. Mereka menetapkan parameter sendiri dan menentukan isu-isunya,” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di Johannesburg, hari ini.
Anwar menegaskan, Malaysia hanya membuka saluran komunikasi kerana dihormati sebagai sahabat yang boleh dipercayai.
Mengulas dakwaan dari Thailand bahawa Malaysia kononnya mencampuri urusan dalaman mereka, Anwar menyifatkannya sebagai tidak berasas.
“Saya tidak tahu pertimbangan politik dalaman mereka tetapi untuk mencadangkan bahawa kita campur tangan adalah tidak benar. Tidak mungkin kita masuk campur,” katanya.
Beliau menegaskan Thailand dan Kemboja mempunyai keupayaan, legitimasi dan hak kedaulatan penuh untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri dan Malaysia kekal menghormati pendirian itu.
Anwar turut menjangka isu ini akan disentuh ketika lawatan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Lawatan itu ialah rundingan bersama yang biasa antara pemimpin dua negara tetapi saya pasti beliau akan menyatakan perkara ini dan saya fikir selaras dengan pendiriannya, rakyat Thai tentunya mahu melindungi sempadan mereka.
“Saya akan mendengar pandangan beliau dan memudah cara jika perlu, namun yang penting adalah untuk memastikan keamanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut memaklumkan pertemuannya dengan Perdana Menteri Vietnam, Phạm Minh Chính yang menyuarakan hasrat mempercepat pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN melibatkan Vietnam hingga Singapura.