Banjir landa 5 negeri, lebih 8,400 dipindahkan
23 NOV : Lebih 8,400 penduduk di beberapa negeri terjejas banjir di seluruh negara.
Melalui Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lima negeri terjejas banjir dengan 42 pusat penempatan sementara (PPS) dibuka setakat jam 9 malam ini.
Kelantan merupakan negeri paling teruk terjejas dengan 7,892 mangsa daripada 2,916 keluarga dipindahkan ke 31 PPS.
Banjir melibatkan empat daerah dengan Tumpat paling terjejas di mana 4,245 daripada 1,694 keluarga terjejas manakala di Kota Bharu seramai 2,090 mangsa daripada 741 keluarga dipindahkan.
Di Bachok pula 1,439 melibatkan 452 keluarga dan 122 lagi mangsa dari Pasir Puteh ditempatkan di PPS.
Di Besut, Terengganu, 370 mangsa daripada 113 keluarga yang terjejas dipindahkan di dua PPS.
Sementara di Kulim, Kedah 245 orang terjejas daripada 86 keluarga yang ditempatkan di tiga buah PPS.
Di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang turut terjejas akibat banjir melibatkan 160 mangsa daripada 42 keluarga.
Manakala di Padang Besar, Perlis seramai 114 mangsa daripaa 35 keluarga terjejas kini dipindahkan ke tiga PPS.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya, buruk dan waspada berkuat kuasa sehingga 25 November.
Sementara amaran angin kencang dan laut bergelora melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor berkuat kuasa sehingga 24 November.
*Foto : Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan