24 NOV : Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan sebarang perjalanan ke Vietnam dan Thailand susulan banjit besar yangmelanda negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keadaan di Vietnam ketika ini sangat membimbangkan, terutama di kawasan pedalaman dan tanah tinggi yang terjejas teruk akibat hujan lebat serta arus deras.
“Saya mendapat laporan setiap jam daripada Konsulat kita di Ho Chi Minh dan juga kedutaan kita di Hanoi yang melaporkan keadaan terkini dan baru tadi pada 11 pagi, saya menerima laporan daripada Konsul Jeneral kita yang bertugas di Ho Chi Minh City.
“Banjir memang amat teruk termasuk kawasan pedalaman dan kawasan pertengahan serta kawasan tanah tinggi seperti Dak Lak, Lai Dong dan Gia Lai,” katanya, lapor Bernama.
Mohamad berkata beliau akan berhubung dengan rakan sejawatnya, Le Hoai Trung bagi menyelaras sebarang keperluan lain.
Selain itu, beliau juga akan bekerjasama dengan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan di Jakarta sekiranya Vietnam memerlukan sokongan segera.
Setakat ini katanya tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian banjir di Vietnam.
Selain itu, Mohamad turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Thailand, khususnya ke Hat Yai yang kembali dilanda banjir berikutan hujan berterusan.
“Saya minta supaya mereka yang berhajat, yang sudah pun membuat perancangan untuk masuk, elok batalkanlah kerana kita tidak tahu…keadaan cuaca tidak menentu sekarang,” katanya.
Dalam tempoh tiga hari lalu, lebih 13,000 rakyat Malaysia sudah keluar melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam serta Padang Besar.
“Rakyat Malaysia yang telah dibawa keluar ditempatkan di Kem Infantri Ke-5 Senanarong di luar Hat Yai menuju ke Songkhla atau 12 pusat perlindungan sementara lain yang disediakan oleh pihak majlis perbandaran di Hat Yai,” katanya.