24 NOV : MyDigital ID dicadang untuk digunakan sebagai mekanisme pengesahan umur bagi pemilik akaun media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata usaha itu sebagai langkah untuk melindungi keselamatan kanak-kanak dalam ruang digital.
Katanya, ia selaras larangan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah daripada memiliki akaun media sosial yang dicadangkan sebelum ini.
“Cadangan kerajaan adalah menggunakan MyDigital ID sebagai satu daripada alat atau mekanisme untuk mengesahkan umur pengguna media sosial.
“Ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama penyedia platform,” katanya kepada Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai kaedah pelaksanaan larangan dan cabaran bekerjasama dengan platform antarabangsa.
Dalam perkembangan lain, Teo memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 812 aduan melalui saluran Consumer Redress Portal (CRP) berkait penyebaran kandungan dan berita palsu di seluruh negara setakat 20 November lalu.
Aduan yang diterima melibatkan penyebaran maklumat palsu berkaitan inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain kandungan yang menimbulkan keresahan awam.
“Selain itu, terdapat juga aduan berhubung penyebaran maklumat palsu yang bertujuan menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mengenai statistik aduan berkaitan liputan Internet/5G dan penyebaran berita palsu serta tindakan yang diambil sejak awal 2025 hingga kini.