PM Thailand bantah kritikan rakyatnya terhadap Anwar
25 NOV : Kritikan beberapa kumpulan di Thailand terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tidak adil.
Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menyampaikan perkara itu kepada Anwar melalui perbualan telefon, awal pagi semalam.
“Beliau menghubungi saya pada waktu pagi untuk memberi jaminan bahawa…anda tahu…apa yang didakwa (kumpulan Thailand) itu tidak benar.”
“Beliau berpendapat kritikan itu tidak adil. Beliau berkata, ‘Anwar, selagi kita tahu peranan anda…anda memudahkan ini (perdamaian),” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata lebih mengejutkan beliau berbanding kritikan itu adalah reaksi keterlaluan sesetengah rakyat Malaysia terhadap perkara ini.
“Apa yang lebih mengejutkan saya ialah ada sebahagian rakyat Malaysia yang terlalu teruja bahawa kita dikritik di Thailand, untuk apa?”
“Ini bukan mengenai Anwar…terdapat ramai pihak lain yang terbabit.
“Pengkritik nampaknya beranggapan bahawa ia hanya peranan seorang individu…itu tidak benar,” katanya.
Terdahulu, kumpulan di Thailand mendakwa Anwar mencampuri urusan negara itu dengan cuba untuk menyelesaikan pertikaian sempadan.
Namun Anwar menolak dakwaan itu sambil menegaskan ia tidak berasas sama sekali.
Minggu lalu, sekumpulan individu mengibarkan bendera Thailand dan sepanduk di Kedutaan Malaysia di Jalan Sathon dan menuduh Anwar, mencampuri urusan Thailand.