26 NOV : Kerajaan mengurangkan harga runcit RON97, RON 95 dan diesel sebanyak 2 sen seliter bagi tempoh 27 November hingga 3 Disember 2025.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan harga baharu itu seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 2 sen kepada RM3.26 seliter dan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi diturunkan sebanyak 2 sen kepada RM2.63 seliter.
“Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 2 sen kepada RM3.08 seliter,” menurut MoF.
Sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut MoF, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran juga menyelaras harga runcit RON97, RON95 serta diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).