Kerajaan MADANI paling banyak salur bantuan untuk Sabah
26 NOV : Kerajaan MADANI pimpinan Pakatan Harapan (PH) antara kerajaan yang paling banyak menyalurkan bantuan untuk rakyat Sabah.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sabah juga menerima peruntukan terbesar untuk pembinaan pelbagai kemudahan termasuk sekolah.
“Jadi ibu-ibu yang ada anak, tolong ingat perkara ini. Banyak sekolah dibina di Sabah sejak kita memerintah.
“Nak marah atau tegur pun tidak mengapa…saya faham masih ada yang susah. Tapi jangan kata kita tidak membantu.
“Kerajaan Pakatan Harapan paling banyak bantu orang Sabah. Sebab itu saya minta sokongan untuk calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Vivian Wong Shir Yee dan DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama belia di gelanggang futsal Kampung Sim Sim, Sandakan, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi PH itu sempat menyeru agar rakyat Sabah memberi sokongan kepada PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurut Anwar, Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang stabil disokong oleh Kerajaan Persekutuan yang juga stabil.
Katanya, kerjasama kedua-dua kerajaan amat penting demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan tuntutan 40 hasil Sabah dipenuhi.
“Kita sudah janji, kita akan laksanakan. Ini bukan sekadar kata-kata seperti kerajaan sebelum ini. Kita akan buat,” katanya.
