26 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Anwar dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan terhadap khidmat Shamsul Iskandar sepanjang bertugas sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Dalam kenyataan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk menjalankan siasatan segera terhadap tuduhan yang timbul.
“Saya menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau.
“Berhubung tuduhan yang timbul, saya menegaskan bahawa SPRM bebas untuk menjalankan siasatan segera, tanpa sebarang campur tangan luar,” katanya melalui kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Semalam, Shamsul Iskandar memaklumkan peletakan jawatannya sebagai orang kanan Anwar dipercayai berikutan kontroversi yang melanda.
Kata Shamsul Iskandar, keputusan tersebut dibuat bagi mempertahankan dirinya daripada serangan-serangan tertentu dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani dan surat perletakan jawatan sudah diserahkan kepada Anwar, pagi semalam.
Dalam pada itu, Anwar bertegas, Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti dan memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang.
Sebelum ini, Anwar menolak desakan untuk memecat Shamsul Iskandar yang terpalit kontroversi surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.