26 NOV : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat segera tohmahan yang dibuat terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil ahli perniagaan, Albert Tei yang membuat tuduhan tersebut.
“SPRM akan memanggil pihak yang membuat tohmahan berkenaan iaitu Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.
“Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini,
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Shamsul Iskandar.
Dalam pada itu, Azam mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berkait isu tersebut.
“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini,” katanya.