Banjir, tanah runtuh di Indonesia, tiada rakyat Malaysia terjejas
27 NOV : Malaysia memantau rapat perkembangan banjir dan kejadian tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Provinsi Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh.
Melalui satu kenyataan, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan memaklumkan kejadian itu susulan hujan lebat berterusan serta keadaan cuaca tidak menentu.
Pihak berkuasa tempatan Republik Indonesia melalui Badan Nasional Penaggulangan Bencana (BNPB) dan Badan Penaggulangan Bencana Daerah (BPBD) mengaktifkan langkah kesiapsiagaan serta operasi bantuan di kawasan yang terjejas teruk.
Ia melibatkan kawasan rendah dan lereng bukit yang terdedah kepada risiko banjir serta tanah runtuh di ketiga-tiga provinsi tersebut.
Setakat kenyataan ini dikeluarkan, tiada laporan warganegara Malaysia yang terjejas secara langsung akibat insiden tersebut.
“Warganegara Malaysia yang sedang berada di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh atau merancang perjalanan ke kawasan tersebut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada.
“Pantau perkembangan terkini melalui saluran media rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak status perjalanan dengan syarikat penerbangan atau pengangkutan masing-masing sekiranya berlaku perubahan dari semasa ke semasa.
*Foto : Facebook Badan Nasional Penanggulangan Bencana