28 NOV : Mangsa banjir di 10 negeri terus mencatatkan peningkatan dengan 31,853 orang direkodkan berlindung di 333 pusat penempatan sementara (PPS) di seluruh negara.
Terengganu menjadi negeri paling teruk terjejas dengan angka mangsa yang dipindahkan mencecah 9,854 orang setakat jam 11 malam ini.
Banjir di lapan daerah itu melibatkan 3,041 keluarga yang ditempatkan di 127 PPS dengan Kemaman dan Marang paling teruk terjejas.
Sementara itu di Kelantan, angka mangsa terjejas semakin menurun dengan hanya 3,006 mangsa masih berteduh di 18 PPS melibatkan enam daerah.
Di Perak, seramai 5,339 mangsa daripada 1,667 keluarga dipindahkan ke 46 PPS melibatkan enam daerah.
Di Selangor, 3,998 orang dipindahkan daripada 1,100 keluarga ke 29 PPS melibatkan lima daerah.
Di Perlis, 3,446 orang daripada 1,410 keluarga dipindahkan ke 23 PPS dari tiga daerah manakala di Kedah, 3,353 orang dipindahkan ke 22 PPS melibatkan 1,052 keluarga bagi tiga daerah.
Di Pahang pula, 2,202 mangsa dipindahkan ke 51 PPS melibatkan 693 keluarga dari empat daerah sementara di Negeri Sembilan 340 orang terjejas, di Melaka 293 dipindahkan dan di Kuala Lumpur lapan mangsa ditempatkan di sebuah PPS.