28 NOV : Mangsa yang terkorban dalam kejadian kebakaran melibatkan kompleks kediaman tujuh blok di Hong Kong meningkat kepada 75 orang.
Menurut laporan Kyodo News, kira-kira 200 orang lagi masih hilang sementara 70 orang cedera dalam kejadian petang Rabu itu.
Kebakaran perumahan Wang Fuk Court itu melibatkan tujuh daripada lapan menara.
Dalam kejadian itu, seorang anggota bomba antara yang terkorban.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee berkata kerajaan akan mengagihkan HK$10,000 (AS$1,285) kepada setiap isi rumah yang terjejas.
Katanya, pihak berkuasa memperuntukkan HK$300 juta (AS$38.5 juta) bagi bantuan bencana.
Kompleks yang terjejas melebihi 30 tingkat dan menempatkan kira-kira 2,000 pangsapuri serta 4,000 penduduk.
Bangunan itu ditutup dengan perancah buluh dan jaring perlindungan hijau bagi kerja-kerja pengubahsuaian dinding luar bangunan tersebut. Sekitar 40 peratus penduduknya berusia 65 tahun ke atas.
Setakat ini punca kebakaran masih belum dikenal pasti namun Jabatan Bomba Hong Kong percaya jaring perlindungan dan ‘papan buih’ yang digunakan dalam kerja pengubahsuaian mempercepatkan lagi kebakaran itu ditambah dengan angin kencang.