Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dibentang
1 DIS : Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) membentangkan laporan tahunan buat pertama kali, hari ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, laporan itu merangkumi penelitian dan pemeriksaan JKmR terhadap Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tahun 2021 hingga 2024.
“Ia membolehkan JKmR mengenal pasti trend dan perkembangan semasa terkait usaha pencegahan rasuah dan cabaran yang dihadapi SPRM.
“Saya akan mengemukakan Laporan Tahunan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri di samping membincangkannya secara mendalam bersama pengurusan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat JKmR yang diketuai Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah, hari ini yang turut membentangkan Laporan Tahunan mereka buat pertama kali.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik kekal utuh.
“Komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak. Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung, dan keyakinan rakyat diperteguh.
“Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA