Peruntukan RM500 juta untuk baiki infrastruktur terjejas banjir
2 DIS : Kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk membaiki kerosakan infrastruktur awam di beberapa negeri akibat banjir, baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur awam yang terjejas di kebanyakan negeri akibat banjir baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua jabatan di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan sudah diarahkan untuk membuat penilaian kerosakan dan menjalankan kerja pembaikan dengan kadar segera.
“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan…untuk segerakan, saya meluluskan RM500 juta untuk tujuan membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Semalam, RUU Perbekalan yang dibentang Anwar pada 10 Oktober lalu diluluskan Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan tahap kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah ditingkatkan susulan perubahan cuaca yang tidak menentu.
Katanya, NADMA bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri bekerjasama dalam mendepani bencana itu.
*Foto : Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan