2 DIS : Kerajaan akan memperluas pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) ke seluruh negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata projek rintis NAS dijadual dimulakan awal tahun hadapan melibatkan sembilan kawasan terpilih.
Menurutnya, peluasan NAS itu akan dilaksanakan secara berperingkat yang dimulakan dengan kawasan yang memiliki kadar ketidakseragaman alamat paling tinggi.
“Dengan pelaksanaan NAS ini, semua premis di seluruh negara termasuk di kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman akan mempunyai alamat yang standard, lengkap dan diiktiraf.
“Pendekatan ini dijangka bukan sahaja dapat memperkemas sistem penyampaian perkhidmatan, tetapi turut menyumbang kepada keselamatan komuniti, kecekapan pentadbiran dan menyokong pembangunan ekosistem digital secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Dewan Negara, hari ini.
Nie Ching menjawab soalan Abdul Nasir Idris berkait pelan tindakan kerajaan untuk memperluas pelaksanaan Program Kampung Digital secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Nie Ching berkata pelaksanaan Program Kampung Digital dan NAS akan selari di mana inisiatif dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menjadi sumber alamat yang sah, seragam dan diiktiraf Kerajaan Persekutuan.
“Sistem ini akan menyokong pelbagai sektor termasuk perkhidmatan pos, ekonomi, keselamatan dan kecemasan, perancangan bandar, utiliti, kerajaan tempatan serta agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.