Tolak cadangan Bank Dunia, BUDI95 beri manfaat langsung
2 DIS : Pendirian Kerajaan Persekutuan yang memilih untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dapat memberi manfaat kepada rakyat secara langsung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian kerajaan itu dalam rangka mengurangkan perbelanjaan tanpa menekan pengguna atau mengikut cadangan Bank Dunia untuk menetapkan harga petrol mengikut harga pasaran.
“Cadangan (Bank Dunia) adalah untuk menaikkan harga kepada RM2.65 seliter untuk semua petrol, kemudian memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu.
“Justeru itu, saya dan rakan-rakan jemaah menteri menolak cadangan tersebut dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi rakyat serta RM2.60 seliter bagi warga asing.
“Ini menunjukkan, pendekatan (diambi) lebih berhemat dan memberikan faedah kepada rakyat. Alhamdulillah, penyasaran subsidi RON95 di seluruh Malaysia ini sambutannya sangat baik dan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan bahawa penyasaran subsidi secara menyeluruh memastikan bantuan terus disalurkan kepada rakyat, selain mengelakkan ketirisan kepada bukan warganegara dan kegunaan komersial.
“Ketika kerajaan menghentikan (pemberian) subsidi ayam dan telur, dan mengapungkan harganya, kerajaan memastikan harga kekal stabil, bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.
“Melalui pengapungan harga ayam dan telur serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun,” kata Anwar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tiada cukai baharu diperkenalkan dalam pembentangan Belanjawan 2026 kerana kerajaan mahu menumpu kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.
“Lazimnya, apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu, tetapi di Malaysia peruntukan ditambah tanpa menambah cukai baharu kerana kita penyasaran subsidi dan beberapa langkah lain bagi penjimatan dan mengelakkan ketirisan.
“Jika kerajaan Persekutuan mengambil langkah sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri supaya turut berbuat demikian dan berhati-hati agar sebarang tindakan dan cukai baharu tidak membebankan rakyat,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA