3 DIS : Genap tiga tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara nyata berhasil dalam memulihkan kestabilan politik dan ekonomi selepas melalui tempoh ketidaktentuan sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam tempoh itu dapat disaksikan haluan negara dikembalikan kepada agenda pembangunan jangka panjang yang lebih inklusif serta berfokus kepada kesejahteraan rakyat.
“Hari ini genap tiga tahun Kerajaan Perpaduan dibentuk pada saat negara suatu ketika berdepan ketidaktentuan politik dan ekonomi serta keperluan mendesak untuk memulihkan kestabilan nasional.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, Kerajaan MADANI walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran berjaya menetapkan semula haluan negara, memulihkan keyakinan rakyat dan mengembalikan fokus kepada agenda pembangunan jangka panjang yang lebih inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebagai menteri yang menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan pembangunan desa tidak tertinggal malah diangkat sebagai pemacu utama pertumbuhan negara.
“KKDW telah menstruktur semula ekosistem pembangunan desa dengan pendekatan yang lebih strategik, bersepadu dan berimpak,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kesemua pencapaian kerajaan hari ini membuktikan kestabilan politik itu prasyarat kepada kemajuan.
Selain itu, katanya, agenda pembangunan desa serta pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan komponen strategik dalam mendaya Malaysia menjadi negara yang lebih makmur, sejahtera dan berdaya saing.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja, penjawat awam dan rakyat Malaysia atas kepercayaan yang berterusan kepada Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah, amanah ini akan terus kami galas dengan penuh tanggungjawab agar Malaysia terus melangkah ke hadapan sebagai negara yang stabil, makmur dan dihormati,” katanya.