5 DIS: Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang dianggap sebagai antara tokoh berwibawa, berpengalaman dan berpengaruh di Dewan Rakyat sejak hampir tiga dekad lalu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata sepanjang enam penggal berkhidmat, beliau dilihat memainkan peranan penting dalam membantu membentuk serta memastikan pelaksanaan undang-undang negara.
Katanya, Bung Moktar telah melalui pelbagai episod suka dan duka sepanjang hampir 30 tahun perjuangannya khususnya sebagai penyokong kerajaan yang sentiasa mempertahankan dasar dan kepentingan negara.
“Secara peribadinya, beliau merupakan guru dan sahabat yang baik yang sentiasa memberi tunjuk ajar dalam apa jua perkara apabila saya meminta pandangan beliau.
“Di sebalik ketegasannya, beliau sangat lembut ketika menasihati dan pandangannya sentiasa tajam kerana berasaskan pengalaman luas…pengalaman beliau itu amat berguna terutamanya untuk saya mentadbir BBC,” katanya kepada BBCPORTAL, hari ini.

Dalam pada itu, Shahar yang juga Ketua UMNO Bahagian Paya Besar turut menyifatkan Bung Moktar sebagai tokoh UMNO yang setia serta mempunyai pandangan jauh dalam menentukan hala tuju perjuangan parti dan kerajaan.
Menurutnya, nasihat paling mendalam yang ditinggalkan Allahyarham ialah tentang makna taat setia kepada parti dan keperluan melihat kesan jangka panjang dalam setiap tindakan.
“Banyak episod penting perjuangan parti yang disertainya…dalam perjuangan kami di BBC mempertahankan dasar kerajaan, beliau sentiasa teguh di hadapan…saya sifatkan beliau sebagai pejuang setia dan berpandangan jauh.
“Beliau juga mengajar saya tentang melihat apakah perkara yang kita lakukan ini akan memberi kesan di masa akan datang…itu perkara yang akan disemat dan ia amat mencengkam jiwa dan perasaan saya apabila mengetahui beliau pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya,” katanya.
Sementara itu, pemimpin-pemimpin utama UMNO turut tampil menzahirkan ucapan takziah termasuk mengenang jasa serta perjalanan panjang Allahyarham dalam dunia politik dan parti itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menzahirkan kesedihan atas pemergian Bung Moktar yang disifatkannya sebagai tokoh politik yang dihormati kawan mahupun lawan.
Dalam kenyataannya, Akmal berkata kehilangan Bung Moktar dirasai seluruh anggota parti lebih-lebih lagi mereka yang pernah bekerja rapat dengan beliau.
“Banyak kisah antara kami yang mengajar saya erti perjuangan dan kesetiaan dalam persahabatan… arwah adalah seorang yang sentiasa positif, murah dengan senyuman walaupun kita tahu beliau berdepan dugaan besar.
“Moga Allah tempatkan beliau di kalangan kekasih Allah…beliau akan sentiasa berada dalam doa kami,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan turut menzahirkan kesedihan serta penghormatan terakhirnya, di samping memuji kepimpinan beliau sepanjang perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan.
“Saya kehilangan seorang rakan dan pejuang…damailah sahabatku di sana, didoakan yang terbaik iaitu Jannah untukmu…semoga Allah terima amal baiknya dan dimasukkan ke dalam syurgaNya.
“Di Dewan Rakyat, kami pernah duduk bersebelahan…beliau seorang pejuang Sabah yang berani dan lantang,” katanya, dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah disahkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi.
Pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan menerusi hantaran di Facebooknya.
Difahamkan sebelum itu, Bung Moktar menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu berikutan kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lalu, pemimpin berusia 66 tahun itu berjaya memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
OLEH : AISYAH BADRUL