5 DIS : Keselamatan kanak-kanak dalam talian menjadi keutamaan dalam era digital hari ini susulan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dan interaksi berisiko semakin mudah berlaku.
Isu ini termasuk penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) yang boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata usaha kerajaan untuk mewajibkan platform media sosial menggunakan sistem Electronic Know Your Customer (eKYC) bagi mengesahkan identiti dan umur pengguna dilihat sebagai langkah penting bagi melindungi serta memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada risiko dalam ruang digital.
Menurutnya, kaedah ini memastikan hanya pengguna yang benar-benar layak sahaja membuka akaun dan mengakses platform tertentu, sekaligus mengehadkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan dan interaksi yang berisiko tinggi.

“Langkah ini juga membantu mengurangkan akaun palsu, memudahkan pengawasan serta menghalang kanak-kanak daripada berinteraksi dengan individu dan kandungan yang tidak sesuai.
“Rasional ini bukan sekadar menyekat tetapi untuk melindungi serta memastikan pendedahan digital berlaku secara lebih selamat, berperingkat dan selari dengan tahap perkembangan mereka,” katanya kepada BBCPORTAL.
Mengulas mengenai pelaksanaan larangan membuka akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun, Fauziah menyokong usaha tersebut serta menyifatkan kanak-kanak pada peringkat umur itu masih berada pada fasa perkembangan kognitif dan emosi yang belum matang.
Jelas beliau, keadaan tersebut menjadikan golongan ini lebih mudah terpengaruh dengan kandungan viral, sukar membezakan maklumat tepat dan palsu serta cenderung mengulangi tingkah laku yang dilihat dalam talian.
Justeru itu, Fauziah berkata bimbingan dan panduan orang dewasa untuk menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan selamat amat diperlukan bagi melindungi golongan ini.
“Selain itu, kawalan impuls, keupayaan menilai risiko serta kefahaman mereka terhadap niat jahat orang lain masih lemah…dalam ruang digital hari ini, kandungan yang tidak sesuai, interaksi dengan individu berniat buruk dan budaya normalisasi tingkah laku berisiko berlaku dengan sangat pantas.
“Tanpa kemahiran literasi digital dan sokongan orang dewasa, kanak-kanak mudah menjadi sasaran buli siber, pengantunan, eksploitasi seksual serta penipuan dalam talian,” katanya.
Dalam pada itu, Fauziah menjelaskan pada umur 16 tahun, penggunaan media sosial dianggap wajar kerana majoriti remaja sudah mencapai tahap kematangan kognitif dan sosial yang lebih stabil.
Katanya, remaja berusia 16 tahun juga lebih mampu menilai risiko, memahami sempadan peribadi dan mengurus interaksi dalam talian dengan lebih matang.
Terdahulu, kerajaan mensasarkan pelaksanaan larangan membuka akaun media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun bermula tahun depan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu dibuat berdasarkan keputusan Kabinet bagi membendung jenayah siber merentas usia selain melindungi kanak-kanak daripada ancaman pemangsa seksual.
OLEH : AISYAH BADRUL