6 DIS : Negara-negara Arab dan Islam senada menolak cadangan terbaharu Israel untuk membuka Lintasan Rafah secara sehala.
Usaha itu dilihat lebih kepada memindahkan penduduk Gaza ke Mesir.
Dalam kenyataan bersama, Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Turkiye, Arab Saudi dan Qatar menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa.
Menteri-menteri luar itu menggesa agar rancangan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dipatuhi
Mereka berpendapat Lintasan Rafah perlu kekal dibuka dua hala bagi memastikan kebebasan pergerakan penduduk Gaza.
Kenyataan itu menegaskan bahawa rancangan tersebut bertujuan memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka dan terlibat dalam usaha membina semula tanah air, selain memulihkan kestabilan serta memperbaiki keadaan kemanusiaan.
Mereka juga menekankan keperluan mengekalkan gencatan senjata, mengurangkan penderitaan orang awam, memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan serta memulakan usaha pemulihan awal dan pembinaan semula.
Israel pada Rabu mengumumkan rancangan untuk membuka semula Lintasan Rafah dalam beberapa hari lagi di bawah perjanjian gencatan senjata Oktober dengan Hamas namun operasi yang dicadangkan hanyalah sehala yang membenarkan penduduk keluar tetapi tidak masuk semula ke Gaza.
Kerajaan Mesir pula menafikan wujud sebarang penyelarasan dengan Israel mengenai langkah itu.
Lintasan Rafah hampir sepenuhnya ditutup sejak Mei 2024 selepas tentera Israel mengambil alih bahagian Palestin.