9 DIS : Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendalami dan meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang baru melabuhkan tirai, bulan lalu.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata PH turut memberi keutamaan kepada reformasi institusi dalam masa terdekat.
“Mesyuarat juga telah mendalami dan meneliti keputusan PRN Sabah dan memutuskan supaya beberapa perkara berhubung reformasi institusi perlu diberi keutamaan dan diusahakan dengan lebih tegas dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Dalam PRN Sabah lalu, PH yang bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya memenangi satu kerusi dan gagal mempertahankan mana-mana kerusi yang dimenangi sebelum ini.
Selain itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan beberapa isu berkait urus tadbir kerajaan, perkembangan ekonomi rakyat, dan ikhtiar pelaksanaan manifesto serta reformasi institusi sepanjang tiga tahun mentadbir negara turut dibincangkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ahli-ahli Majlis Presiden.
Dalam pada itu, katanya, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan satu Konvensyen Pakatan Harapan pada suku pertama 2026 bagi menetapkan fokus keutamaan usaha reformasi serta halatuju negara bagi dua tahun ke hadapan.