Bendung CSAM: Pelajar, ibu bapa perlu literasi media, digital
10 DIS : Pendedahan operasi berskala besar melibatkan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) baru-baru ini sekali lagi menonjolkan betapa kompleks dan tersembunyinya jenayah siber di dunia ini.
Penganalisis Politik dan Media Sosial Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata perkembangan berkenaan menekankan betapa pentingnya peranan media dalam mendidik masyarakat serta mengukuhkan kawalan digital di peringkat rumah dan sekolah.
Sehubungan itu, beliau berkata literasi media dan digital dalam kalangan ibu bapa serta pelajar kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan mendesak.
“Cabaran Malaysia bukanlah sama ada untuk menghubungkan kanak-kanak kepada teknologi tetapi bagaimana memastikan hubungan tersebut membina kefahaman dan bukannya kekeliruan.

“Kanak-kanak seawal usia 10 tahun kini terdedah kepada kandungan berbahaya seperti pornografi, keganasan, ucapan kebencian dan fitnah dengan kawalan yang amat terhad…oleh itu, platform media sosial mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam mengurus kandungan agar bebas daripada bahan ganas, penipuan, buli siber, kandungan lucah serta jenayah dalam talian yang lain.
“Teknologi tidak akan hilang, persoalannya ialah sama ada apakah kita mampu menjadi cukup bijak untuk menggunakannya dengan baik,” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilapor melaksanakan operasi di seluruh negara yang membawa kepada 31 tangkapan di 37 lokasi serta penemuan semula lebih daripada 880,000 fail berkaitan CSAM dalam Op Pedo 2.0 pada 23 hingga 30 September lalu.
Dalam pada itu, Sara berkata kebertanggungjawaban platform digital semakin menjadi fokus khususnya berkaitan pengurusan kandungan haram termasuk CSAM.
Justeru itu, beliau berkata media dilihat berperanan penting dalam mendesak penyedia platform digital bukan sahaja memadam kandungan haram tetapi juga memastikan sistem mereka konsisten, pantas dan bertanggungjawab bagi membendung pengedaran jenayah siber.
“Selain itu, pencipta kandungan juga perlu menyesuaikan karya mereka mengikut garis panduan platform atau peraturan kerajaan termasuk mengubah kandungan sedia ada atau menumpukan pada format yang kurang berisiko disekat.
“Pendekatan seimbang diperlukan supaya semua platform digital dapat mengurus kandungan berbahaya dengan berkesan tanpa perlu larangan menyeluruh,” katanya.
Mengulas cadangan had umur minimum 16 tahun bagi akses platform digital, Sara menyifatkannya sebagai langkah pencegahan yang wajar, namun perlu disampaikan dengan cermat oleh media supaya ia difahami sebagai perlindungan, bukan sekatan.
“Sekatan yang dilaksanakan secara berhemah berpotensi mengurangkan kebimbangan, kemurungan dan gangguan tidur yang sering dikaitkan dengan penggunaan media sosial berlebihan.
“Namun, sekatan media sosial yang terlalu ketat boleh membawa kesan negatif termasuk membuatkan golongan muda berasa terasing dan rasa kehilangan manfaat platfort media sebagai tempat mendapatkan sokongan.
“Justeru, pendekatan sederhana serta pendidikan berterusan dilihat lebih berkesan berbanding larangan menyeluruh..kesejahteraan generasi muda bergantung kepada keseimbangan antara kebebasan dan perlindungan, pendedahan dan kefahaman serta inovasi dan tanggungjawab,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL