10 DIS : Kerajaan mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 2 sen seliter bagi tempoh 11 Disember hingga 17 Disember 2025
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataa memaklumkan keputusan itu dibuat seiring dengan perubahan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan memutuskan untuk mengurangkan harga runcit RON97 sebanyak 2 sen kepada RM3.27 seliter, RON95 tanpa subsidi sebanyak 2 sen kepada RM2.64 seliter dan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia sebanyak 2 sen kepada RM3.06 seliter bagi tempoh 11 Disember hingga 17 Disember 2025,” katanya.
Dalam pada itu, harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.
Menurut MoF, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97, RON95 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata MoF.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).