KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN
Kementerian Kewangan menyambut baik pengesahan semula penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan Stabil oleh Fitch Ratings. Pengesahan ini diperkukuh oleh prestasi cemerlang Malaysia dalam penunjuk utama alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), di mana negara mencatatkan skor melebihi median global. Skor tinggi ini dicapai terutamanya dalam aspek kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah, serta hak asasi manusia dan kebebasan politik.
Fitch menekankan bahawa kestabilan politik menjadi tunjang kepada peningkatan kepastian dasar, mewujudkan kitaran murni yang memacu prospek pertumbuhan jangka sederhana dan memperkukuh daya tahan fiskal.
Agensi tersebut mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.6% pada tahun 2025, menghampiri tahap tertinggi dalam julat ramalan rasmi Kerajaan iaitu 4% hingga 4.8%. Keadaan pasaran buruh dijangka kekal cergas sehingga 2026, dengan kadar pengangguran berada pada tahap terendah dalam tempoh 11 tahun serta kenaikan gaji yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Momentum ini diperkasakan lagi oleh rangkaian pelaburan modal berkaitan Al yang kukuh dan pelaburan teknologi yang meningkat sebanyak 13.2% tahun-ke-tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025. “Malaysia telah berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif yang mencorakkan sebahagian besar tahun 2025, yang berakhir dengan satu perjanjian saling menguntungkan bagi menyokong eksport serta memperkukuh kedudukan ekonomi kita. Walaupun keadaan global kekal mencabar, Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Kerajaan MADANI telah melaksanakan siri reformasi ekonomi untuk memperkukuh kerangka fiskal dan tadbir urus, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] serta pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025. Langkah ini, bersama dengan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam 2025, dijangka memperkukuh kualiti kawal selia dan memastikan kemakmuran negara dibina atas asas institusi yang teguh.
Fitch mengakui bahawa defisit Kerajaan Persekutuan diunjurkan mengecil daripada 3.8% daripada KDNK pada 2025, berbanding 5.5% pada 2022 hasil daripada kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih kukuh serta reformasi subsidi. Defisit ini dijangka terus mengecil kepada 3.5% pada 2026. Fitch yakin sasaran defisit 3% daripada KDNK di bawah Akta 850 boleh dicapai menjelang 2028 sekiranya rasionalisasi subsidi dan peluasas asas hasil diteruskan.
Di bawah Kerajaan MADANI, pengurusan fiskal akan diperingkatkan lagi melalui pelbagai langkah peluasan hasil serta usaha pengoptimuman perbelanjaan. Kerajaan juga akan meneruskan rasionalisasi subsidi bagi membendung ketirisan dan memastikan penggunaan sumber yang optimum. Penyaluran penjimatan ini bertujuan menyokong pewujudan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, seterusnya meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global agar kekal berdaya tahan mendepani ketidaktentuan global.
KEMENTERIAN KEWANGAN