12 DIS : Kerajaan memberi jaminan keselamatan untuk kesemua atlet negara yang sedang beraksi di Sukan SEA 2025 Bangkok.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kawasan pertempuran melibatkan sempadan Thailand-Kemboja itu terletak jauh dari lokasi temasya sukan itu.
“Atlet tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka walaupun ketegangan antara Thailand dengan Kemboja masih berterusan.
“Lokasi temasya itu berlangsung di Bangkok dan Chonburi terletak jauh dari kawasan pertempuran di sempadan kedua-dua negara.
“Jadi, ibu bapa dan penjaga serta atlet Sukan SEA tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka kerana Bangkok dan Chonburi berada dalam keadaan selamat, malah jauh daripada kawasan pertempuran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan kebajikan di peringkat Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan pertempuran yang tercetus itu hanya berlaku di sempadan dan tidak menjejaskan mana-mana lokasi pertandingan sukan berkenaan.
Menurutnya, kementeriannya juga sudah mengeluarkan nasihat perjalanan bagi mengingatkan rakyat Malaysia agar mengelakkan kawasan yang terlibat.
“Justeru atlet yang berada di Thailand perlu menjauhi kawasan sempadan Thailand-Kemboja bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.
Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember sementara Sukan Para ASEAN (APG) 2025 akan berlangsung dari 20 hingga 26 Januari tahun depan.
Malaysia menghantar 1,142 atlet bersama 515 pegawai bagi Sukan SEA, sementara APG 2025 bakal menyaksikan penyertaan 236 atlet dan 117 pegawai.