Jajaran Gemas-JB lengkapkan rangkaian rel elektrik negara
11 DIS : Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru disifatkan sebagai detik bersejarah yang melengkapkan rangkaian rel elektrik dari utara ke selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek raksasa itu bukan sekadar mercu tanda baharu sektor pengangkutan negara, malah menutup satu jurang besar dalam jaringan rel yang menghubungkan Padang Besar hingga ke Johor Bahru.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menzahirkan penghargaan atas pencapaian dan kejayaan besar itu hasil komitmen dan kepakaran kerjasama SIPP-YTL dalam menjelmakan infrastruktur bertaraf dunia berkenaan.
“Penyempurnaan projek ini tepat pada masanya oleh SIPP-YTL mengesahkan bahawa kontraktor tempatan mempunyai keupayaan dan kepakaran untuk membangunkan infrastruktur bertaraf global demi kemajuan negara.
“Bagi saya ini adalah kelainan dalam pendekatan Ekonomi MADANI yang menunjukkan keprihatinan kita bahawa pembangunan itu mesti dilonjakkan tentunya satu tingkat yang membanggakan tetapi dalam masa yang sama ia memerlukan suatu keprihatinan, campur tangan, moral persuasion dan juga hidden hand daripada jentera kerajaan dengan kerjasama pihak swasta termasuk yang besar.
“Misalnya hari ini kita lihat SIPP-YTL memastikan bahawa ada program-program yang dapat memberi manfaat secara langsung di kalangan rakyat di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang dirasmikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini.
Menurut Anwar, projek rel itu menyelesaikan satu babak penting dalam usaha memperkukuh jaringan pengangkutan yang amat diperlukan rakyat terbanyak dari pelabuhan, rangkaian lebuh raya, hingga ke lapangan terbang.
“Walhasil, pembangunan jajaran 11 stesen baharu di kota-kota kecil sepanjang laluan ini membuka ruang dan peluang kepada terlahirnya pusat-pusat kegiatan ekonomi baharu yang pastinya membawa limpahan manfaat kepada rakyat di kawasan-kawasan sekitar.
“Apa yang kita saksikan hari ini ternyata menjadi bukti semangat ‘participatory democracy’ yang ingin kita hidup dan semarakkan iaitu dengan mendengar, mengambil kira serta menghormati pandangan negeri dalam proses pembangunan nasional.
“Dengan pengoperasian landasan ini, kita telah mempercepat perjalanan selain lonjakan masa depan Johor dan Malaysia seluruhnya,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata ekonomi Johor yang kukuh kini mengatasi mengatasi beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor.
“Lantas, saya tidak pernah sama sekali melihat kemajuan Johor sebagai suatu persaingan.
“Sebaliknya, ia menjadi antara faktor pengukuh kekuatan semangat nasional kerana ia juga sebuah negeri yang cantik, penting dan strategik kepada Malaysia,” katanya.
