11 DIS : Isu berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak seharusnya dijadikan pertikaian politik memandangkan masyarakat bebas memilih aliran pendidikan masing-masing.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sesiapa pun bebas memilih UEC atau aliran pendidikan yang lain.
“Setiap ahli politik ada pandangan masing-masing dan ini perkara biasa. Tetapi bagi saya, perkara paling penting adalah semua rakyat Malaysia menghormati apa yang kita ada di negara ini.
“Kalau ada yang tidak bersetuju dengan UEC, mereka tidak perlu memilih aliran itu. Jika ada yang merasakan UEC diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mahu mengikutinya, itu pilihan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program ‘Malaysia-UK Partnering for Accelerated Climate Transitions (UK PACT) 2.0’, hari ini.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata Malaysia menyediakan pelbagai laluan pendidikan termasuk universiti, kolej serta aliran akademik berbeza tanpa sebarang paksaan.
Bagaimanapun, pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) itu mengingatkan sekolah kebangsaan sudah mempunyai silibus ditetapkan kerajaan dan sebarang cadangan perubahan perlu dilakukan secara teliti dan menyeluruh.
“Di negara kita, ada banyak pilihan (aliran pendidikan). Universiti mana yang kamu nak pergi, aliran mana kamu nak pergi, ‘main stream’ mana yang kamu nak pergi…tiada paksaan di sini.
“Tapi jika kamu pergi sekolah kebangsaan, sudah ada aturan…silibus yang sudah ditetapkan. Jadi saya rasa kita tak sepatutnya mempolitikkan isu ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming agar memahami Dasar Pendidikan Kebangsaan terlebih dahulu sebelum mempersoalkan isu pengiktirafan UEC.
Kata Akmal, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan permintaan itu kerana UEC tidak menepati komponen penting dalam dasar berkenaan.
Beliau turut menekankan Kor Ming sewajarnya lebih arif mengenai dasar tersebut memandangkan beliau anggota Kabinet.