13 DIS : Indonesia dilaporkan mengenakan cukai ke atas bantuan bencana dari luar negara yang dihantar kepada mangsa banjir di Sumatera.
Komuniti diaspora Indonesia meluahkan kebimbangan terhadap dasar kerajaan itu.
Laporan media memetik seorang diaspora menetap di Singapura mendakwa sumbangan dari luar negara diklasifikasikan sebagai barangan import dan tertakluk kepada cukai sekiranya bencana berkenaan belum diisytiharkan sebagai bencana nasional.
Dasar itu menerima kritikan ramai pihak yang menyifatkannya tidak wajar, memandangkan banjir terbaharu di Sumatera telah meragut 969 nyawa serta menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Dalam pada itu, Kedutaan Besar Indonesia di Singapura mengesahkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk memudahkan penghantaran bantuan atau mempengaruhi keputusan kerajaan bagi mengisytiharkan bencana nasional.
Duta Besar Indonesia ke Singapura, Suryo Pratomo, menasihati komuniti diaspora supaya menyalurkan sumbangan melalui Palang Merah Indonesia atau organisasi sah lain.
Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo Hadi pula menegaskan kerajaan mempunyai keupayaan serta sumber mencukupi untuk menangani bencana banjir tanpa bergantung kepada bantuan asing.
Isu cukai itu terus mencetuskan perdebatan dalam kalangan diaspora Indonesia yang ingin membantu mangsa banjir namun berdepan kekangan peraturan dan cukai sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran serta keberkesanan penghantaran bantuan.