13 DIS : Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang perlu dikuasai segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata hanya selepas bahasa Melayu dikuasai sebaiknya, barulah tumpuan beralih ke penguasaan terhadap bahasa lain.
“Kalau kamu namanya rakyat Malaysia, biar bersetuju dulu pendirian yang pertama. Apa dia? Bahawa bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan, bahasa rasmi, bahasa ilmu yang wajib dikuasai semua rakyat Malaysia.
“Hatta kalau rakyat Malaysia hantar anak dia di sekolah antarabangsa pun bahasa pengantarnya bahasa Inggeris tetapi menguasai bahasa Melayu itu adalah prasyarat penting. Itu prinsip yang pertama, semua kena setuju,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kembali ke Sekolah 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan tiada halangan untuk mana-mana pihak menguasai apa jua bahasa.
“Kerajaan kata kita boleh menerimanya. Nak kuasai bahasa Arab, nak kuasai bahasa Tamil, nak kuasai bahasa Cina, nak kuasai bahasa Inggeris, dialu-alukan, tak ada masalah. Tapi prinsip yang pertama, biar kita setuju dulu.
“Yang kedua, setelah penguasaan bahasa Melayu itu diakui dan dihayati, maka di sana ada keperluan untuk ada penguasaan dan peningkatan terhadap bahasa lain.
“Yang ketiga, yang kita tak nak adalah apabila satu kaum menjadi champion memperjuangkan hanya bahasa kaumnya sahaja. Yang itu tak sesuai dalam konteks negara kita. Itu sahaja,” katanya.
Meski penting untuk mempelajari bahasa mana-mana kaum dan menguasainya dengan baik namun Saifuddin menegaskan kerajaan ingin mengelakkan daripada bahasa itu menjadi satu-satunya yang diperjuangkan atas identiti kaum.
“Penting tak bahasa satu kaum itu dipelajari dan dikuasai dengan baik? Penting. Tapi yang kita nak elak adalah bukan itu satu-satunya yang wajar diperjuangkan atas identiti kaum. Yang itu kita tak nak,” katanya.