Malaysia aman bergantung kerana dasar adil, tolak kebencian
13 DIS : Keamanan dan kemakmuran Malaysia hanya dapat dikekalkan sekiranya negara ini dipacu dasar yang adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada ruang perlu diberikan kepada kebencian dan pelampau untuk berakar di negara.
“Sebaik tiba dari Langkawi, saya langsung ke Petaling Jaya untuk menghadiri Jamuan Teh Krismas bersama komuniti setempat, dalam suasana yang mencerminkan keharmonian sebenar Malaysia, jauh berbeza daripada naratif sempit yang digerakkan oleh kelompok perkauman dan pelampau agama.
“Dalam ucapan, saya tegaskan bahawa di sebalik segala perbezaan dan kerumitan, Malaysia kekal sebagai negara yang aman dan makmur.
“Keamanan ini hanya akan berkekalan jika disokong oleh dasar yang adil kepada setiap rakyat, tanpa memberi ruang kepada kebencian dan sikap pelampau untuk berakar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Jamuan Teh Krismas di Petaling Jaya, hari ini.
Menyentuh isu pendidikan, Anwar menjelaskan pendekatan kerajaan tidak bersifat menang-kalah atau zero sum game.
“Bahasa Melayu perlu kekal sebagai teras nasional, di samping keperluan menguasai bahasa Inggeris, serta memberi ruang kepada bahasa lain termasuk pendidikan Cina dan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) atau bahasa Arab tanpa mencetuskan kegelisahan atau salah faham,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan nilai dan moral yang semakin ketara dalam politik, masyarakat serta kepimpinan dunia masa kini.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan agama dan kepercayaan tidak boleh sekadar menjadi slogan atau simbol, sebaliknya perlu berfungsi sebagai suara nurani yang berani mempertahankan keadilan.
“Kerana itu agama dan kepercayaan tidak boleh terhenti sebagai slogan atau simbol, sebaliknya mesti menjadi suara nurani yang berani menentang rasuah, ketidakadilan, penindasan dan sikap membiarkan kezaliman berlarutan.”
Beliau turut menekankan peranan penting pemimpin serta badan keagamaan sebagai rakan dialog dan benteng nilai dalam masyarakat majmuk.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Persekutuan Kristian Malaysia bagi menyokong usaha memupuk kefahaman, keharmonian antara agama serta pengukuhan nilai moral dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, masa depan negara bergantung kepada keberanian mengurus perbezaan secara adil dan berprinsip.
“Malaysia hanya akan melangkah jauh jika kita berpegang teguh pada keadilan, ihsan dan prinsip kemanusiaan, serta berani mengurus perbezaan secara adil dan bertanggungjawab.
“Inilah semangat MADANI yang menjadi asas kekuatan negara,” katanya.
