KENYATAAN MEDIA
WISMA PUTRA
Malaysia mengalu-alukan Resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 12 Disember 2025 yang memperakukan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Oktober 2025, mengenai Obligasi Israel terhadap PBB, Organisasi Antarabangsa Lain dan Negara-negara Ketiga di Wilayah Palestin Yang Diduduki.
Resolusi tersebut telah menerima sokongan padu daripada Negara Anggota PBB dengan meraih 139 undi.
Resolusi yang diterajui oleh Negara-Negara Sepemikiran, termasuk Malaysia ini, menegakkan undang-undang antarabangsa dan menzahirkan komitmen kolektif masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan sepenuhnya dan dengan segera dapatan ICJ dalam Pendapat Nasihat tersebut.
Malaysia menuntut Israel untuk mematuhi semua obligasinya di bawah undang-undang, termasuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan terutamanya oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), organisasi antarabangsa dan Negara Anggota PBB; melindungi hak mutlak rakyat Palestin; dan menghormati keistimewaan dan kekebalan PBB.
Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi memastikan penyelesaian yang adil, komprehensif dan berkekalan untuk Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.
WISMA PUTRA