13 DIS : Kewujudan ruang digital tertutup yang beroperasi di luar pengawasan awam dikenal pasti sebagai antara ancaman terbesar kepada keselamatan kanak-kanak khususnya dalam pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata pengedaran CSAM sukar dikenal pasti pada peringkat awal kerana kandungan berkenaan kebiasaannya dikongsi melalui aplikasi yang disulitkan, forum persendirian serta saluran web gelap yang mengehadkan penglibatan pihak luar.
Menurutnya, ruang tersembunyi dan persendirian ini juga menyukarkan moderator platform serta penguat kuasa undang-undang memantau kandungan secara berkesan selain melambatkan pengesanan awal kerana memerlukan pemeriksaan lebih teliti terhadap kumpulan kecil dan bersasar.
“Kerahsiaan yang disediakan oleh saluran ini menggalakkan pesalah berkongsi dan menyimpan bahan tanpa rasa takut untuk dikesan.

“Memandangkan kebanyakan rangkaian ini bersifat terpencar atau tidak kekal,kandungan boleh berpindah dengan cepat dari satu ruang tersembunyi ke ruang lain apabila sesuatu tapak ditutup dan menyebabkan ia tidak dapat dikesan untuk jangka masa yang panjang,” katanya kepada BBCPORTAL.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata persekitaran tersebut juga membawa kepada penyebaran berulang kerana sebaik sahaja CSAM muncul dalam satu kumpulan tertutup, ia mudah disalin dan diedarkan semula merentasi rangkaian persendirian yang lain.
“Tanpa moderasi berpusat atau mekanisme penghapusan yang boleh dipercayai, fail yang sama terus beredar seterusnya membolehkan bahan berbahaya muncul semula berkali-kali walaupun selepas usaha untuk menghapuskannya,” katanya.
Mengulas aspek pembendungan CSAM, Amirudin menegaskan keberkesanan usaha tersebut amat bergantung kepada tahap komitmen, kelajuan serta konsistensi penguatkuasaan oleh penyedia platform digital.
Katanya, platform yang mempunyai komitmen tinggi akan melabur dalam kakitangan terlatih, teknologi pengesanan moden dan kerjasama kukuh dengan pihak berkuasa serta organisasi berkaitan berbanding platform yang hanya bergantung kepada laporan pengguna dan bertindak selepas kandungan berbahaya tersebar.
“Penguatkuasaan yang konsisten sangat penting, setiap platform perlu melaksanakan peraturan mereka secara standard di semua ciri produk, wilayah, bahasa dan kumpulan pengguna…jika penguatkuasaan tidak seragam, pesalah boleh berpindah ke bahagian platform yang lebih lemah di mana pengesanan kurang berkesan.
“Larangan akaun yang tidak konsisten atau ciri keselamatan yang tidak menyeluruh juga membuka peluang untuk pesalah mengulangi perbuatan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pelaksanaan kawalan akses berasaskan umur termasuk had minimum 16 tahun penting sebagai langkah pencegahan bagi melindungi kanak-kanak dalam talian.
Katanya, kanak-kanak yang belum matang dari segi kognitif dan emosi lebih terdedah kepada manipulasi, eksploitasi seksual dan interaksi berbahaya.
“Kawalan umur membolehkan platform mematuhi peraturan perlindungan data yang direka khusus untuk menjaga keselamatan kanak-kanak.
“Had umur seperti 16 tahun memberi ruang kepada platform untuk menyediakan ciri keselamatan tambahan seperti pengawasan ibu bapa, pengesanan kandungan berbahaya dan sekatan komunikasi
dengan pengguna yang tidak dikenali,” katanya.
OLEH : AISYAH BADRUL