15 DIS : Kesemua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dianggap sudah berdaftar di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) bermula 1 Januari 2026.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata perkara itu tertakluk kepada semua penyedia perkhidmatan yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di negara ini.
“MCMC ingin memaklumkan bahawa semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah ASP(C),akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming).
“Langkah ini untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC berkata pendekatan itu selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
Selain itu, menurut MCMC, inisiatif itu juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
Kata MCMC, pelaksanaan Peruntukan Deeming itu berkuat kuasa 1 Januari depan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
“Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
“Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa. Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar,” kata MCMC.
MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia.
Maklumat terperinci tentang pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh melalui laman sesawang MCMC di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksanaan-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf.