Akta ditambah baik bezakan whistleblower, pemberi rasuah
16 DIS : Kerajaan akan menambahbaik undang-undang bagi membezakan pemberi maklumat atau whistleblower dengan pelaku rasuah yang berlindung sebagai pemberi maklumat, tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia melibatkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
“Saya percaya, undang-undang itu, kalau hendak diperkemaskan…dibentang, akan dilakukan awal tahun depan.
“Untuk menentukan kaedah yang tetap bagi membezakan antara whistleblower dan penyamun, perasuah atau penjenayah yang terlindung dengan peraturan atau akta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Abun Sui Anyit di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan wujud kekeliruan dalam negara ini apabila perasuah dijadikan wira.
“Ada kekeliruan dalam negara kita. Sekarang ini, penyamun, perasuah pun dianggap whistleblower dan dijadikan hero.
“Kalau seseorang itu mencuri RM1 bilion, dia kata akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk dapatkan kembali RM100, itu bukan whistleblower itu penyamun tegar,” katanya.
Beliau menegur segelintir pemimpin didakwanya menyokong individu yang terang-terangan mengaku memberi rasuah kepada ahli politik.
“Sekarang ini ada budaya dalam kalangan ahli-ahli politik sendiri yang mendewa-dewakan seseorang yang umpamanya mengaku terang-terang merasuah pemimpin politik,” katanya.