Tidak adil beri gambaran negatif terhadap PDRM
16 DIS : Tindakan sengaja memberi gambaran negatif terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan tidak adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meski tidak dinafikan wujud kelemahan namun katanya PDRM sudah menunjukkan keupayaan dalam menjalankan tugas.
“Tentu ada beberapa kelemahan yang tidak boleh kita nafikan, tetapi untuk kita memberi gambaran negatif, saya fikir tidak adil terutama terhadap PDRM.
“PDRM dalam semua tindakan telah menunjukkan keupayaan mereka melalui proses integriti memperoleh jumlah (rampasan) besar untuk negara.
“Maknanya tindakan mereka terhadap penjenayah, penyeludup yang membabitkan tindakan berkesan tetapi persepsi itu berbeza,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan Amir Md Ghazali yang ingin tahu langkah memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan termasuk PDRM.
Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjenayah sehingga menimbulkan persepsi pihak berkuasa lemah dalam membanteras kegiatan jenayah.
Menyentuh kes tiga penjenayah yang ditembak mati di Melaka sebelum ini, Anwar berkata siasatan rapi dan telus dijalankan tanpa tolak ansur.
“Saya dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah bahawa siasatan rapi dan telus, tiada tolak ansur.
“Laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Anwar berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang keterlanjuran tindakan oleh pihak polis, sambil menekankan bahawa setiap dakwaan akan disiasat secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang.
Selain itu, Anwar turut mengingatkan masyarakat agar membezakan antara kes salah laku dalam penguatkuasaan dengan tindakan tegas terhadap penjenayah yang mengancam keselamatan awam.