KENYATAAN MEDIA:
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum penularan satu potongan klip berita di media sosial yang didakwa merujuk kenyataan Ketua Pengarah JPN berhubung isu pemilikan dua kerakyatan yang telah ditafsirkan di luar konteks sebenar.
2. Untuk makluman, kenyataan Ketua Pengarah JPN yang pada asalnya diterbitkan sebagai artikel berita adalah merujuk kepada pendekatan semasa dalam menangani isu pemilikan dua kerakyatan yang sememangnya telah lama diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan. Justeru, individu (warganegara Malaysia) yang memiliki kerakyatan asing boleh membuat pelepasan kewarganegaraan secara sukarela berbanding diambil tindakan pelucutan kewarganegaraannya di bawah Perkara 24, 25 atau 26 Perlembagaan Persekutuan.
3. Dalam konteks ini, JPN berperanan sebagai agensi pelaksana yang menjalankan semakan dan penelitian termasuk pengesahan dokumen dan penyediaan syor berdasarkan fakta kes, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada. Sebarang keputusan muktamad berkaitan pelucutan status kewarganegaraan adalah tertakluk kepada kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri, sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.
4. Kenyataan bahawa JPN ‘mempertimbang syor’ tidak bermaksud wujud perubahan dasar atau pelaksanaan automatik terhadap mana-mana individu, sebaliknya merujuk kepada opsyen terhadap pelucutan kewarganegaraan yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan pengurusan kewarganegaraan dilaksanakan secara berhemah, adil dan berlandaskan undang-undang.
5. JPN ingin menegaskan bahawa tiada tindakan sewenang-wenangnya diambil, dan setiap kes akan dinilai secara terperinci berdasarkan fakta, peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan.
6. JPN juga ingin menyeru agar sebarang pelaporan atau perkongsian oleh portal atau pihak ketiga hendaklah dibuat secara tepat dan bertanggungjawab, selaras dengan konteks sebenar kenyataan rasmi, bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA